Pengenalan
Latar Belakang Fakulti Biosumber dan Industri Makanan (FBIM)
Fakulti ini ditubuhkan secara rasminya pada 1 Julai 2006 dengan pengambilan pertama seramai 25 orang pelajar Program Sarjana Muda Bioteknologi Pertanian. Penubuhan fakulti ini adalah bertujuan untuk melahirkan sumber insan profesional dalam bidang pertanian yang meneruskan kesinambungan bekalan sumber makanan di Malaysia. Matlamat ini seiring dengan Dasar Agro Makanan Negara 2.0 (2021–2030) yang menekankan sekuriti makanan, daya saing industri dan kelestarian sumber, serta mendukung aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dalam memperkukuh sektor agromakanan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara yang inklusif, mampan dan berdaya tahan.
Pengaplikasian bidang teknologi dan sains dalam pertanian adalah dikenalpasti sebagai perangsang bagi peningkatan dalam memenuhi keselamatan makanan negara. Selari dengan usaha ini fakulti berperanan aktif menjalankan tiga teras kefungsiannya iaitu pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan bagi pengembangan dalam masyarakat. Ketiga-tiga teras kefungsian ini memacu pembangunan kepakaran kumpulan profesional berdasarkan bidang tujahan kritikal pertanian dan bioteknologi bagi mencapai kecemerlangan ilmu dan praktis. Usaha ini diperlengkapi dengan pembangunan sumber manusia semua lapisan ahli fakulti yang strategik, sistematik dan berterusan.
Fakulti Biosumber dan Industri Makanan kini menawarkan lapan program pengajian iaitu Sarjana Muda Agrobioteknologi dengan Kepujian (2006), Sarjana Muda Teknologi Makanan dengan Kepujian (2007), Sarjana Muda Produksi dan Kesihatan Haiwan dengan Kepujian (2008), Sarjana Muda Sains Akuatik dengan Kepujian (2017), Sarjana Muda Perniagaantani dengan Kepujian (2017), Sarjana Muda Pembangunan Makanan Halal dengan Kepujian (2021), Sarjana Muda Teknologi Pembiakbakaan Tumbuhan dengan Kepujian (2021) dan Sarjana Muda Agronomi dengan Kepujian (2022).
Pendekatan pengajaran di fakulti menggabungkan teori dan praktikal serta pendedahan secara langsung dalam industri pertanian berintegrasikan bioteknologi dan mempelajari semua aspek makanan. Bidang teras penyelidikan berasaskan pertanian, bioteknologi pertanian dan makanan yang dijalankan akan menjadi input kepada ransangan perkembangan industri pertanian setempat khususnya di Terengganu dan di Rantau Ekonomi Pantai Timur amnya. Sumber kepakaran dengan gabungan hasil penyelidikan serta kemudahan sedia ada akan disalurkan kepada khidmat nasihat yang diperlukan oleh komuniti setempat, usahawan tani serta agensi atau industri dalam sektor pertanian.
